Masalah Wanita · Mengandung Luar Rahim

Tanda-tanda Mengandung Luar Rahim, Risiko dan Cara Rawatannya

Ia Teringat lagi kisah beberapa tahun yang lepas, disahkan mengandung luar rahim. Waktu tu lepas buat D&C sebab gugur pada 11-12 minggu. Memang tak dijangkakan boleh mengandung luar rahim sebab takde tanda-tanda pun mengandung luar rahim. Asbab daripada berlaku keguguran tu la, baru doktor cek keadaan rahim dan kata ada kandungan luar rahim.

Selalunya mereka yang mengalami kandungan luar rahim ni akan berlakunya pendarahan, sakit di bahagian tepi perut dan sebagainya. Mungkin sebab kandungan tu masih belum besar, jadi takde pon alami tanda-tanda seperti itu. Jadi ada hikmahnya juga mengalami keguguran waktu tu.

Ramai yang tak tahu tentang tanda-tanda mengandung luar rahim ni. Masalah ini boleh mengakibatkan kematian kepada si ibu. Jadi, sebagai langkah berjaga-jaga, MiaZain nak kongsikan maklumat mengenai mengandung luar rahim ni dengan anda semua.

mengandung luar rahim

Mengandung luar rahim atau kehamilan ektopik

Mengandung luar rahim ni juga dikenali sebagai kehamilan ektopik (ectopic pregnancy). Ia bermaksud embrio (ovum yang telah disenyawakan) yang sepatutnya menempel didinding rahim tidak berada di dalam rahim. Akan tetapi embrio ini boleh berada samada di tiub fallopian (paling banyak kes berlaku) atau di ovari (kilang telur). Ia boleh juga berada di dalam perut di mana kes ini sangat jarang berlaku.

mengandung luar rahim
Kawasan kandungan luar rahim

Keadaan ini berlaku kerana embrio gagal untuk bergerak melalui tiub ke dinding uterus. Ini kemungkinan berlaku kerana tiub fallopio tersumbat. Antara punca tiub fallopio tersumbat adalah mungkin kerana terdapat jangkitan kuman atau terdapat parut(akibat pembedahan yang lepas) pada tiub tersebut. Kehadiran IUCD (alat untuk merancang kehamilan) pada rahim juga boleh menghalang penempelan embrio pada dinding rahim.

Kandungan luar rahim ini sangat bahaya sekiranya tidak dirawat dengan cepat. Ini kerana apabila janin semakin membesar ia akan menyebabkan saluran tiub atau ovari boleh pecah. Bergantung di mana kedudukan janin tersebut berada. Dan ini boleh menyebabkan kematian kepada si ibu. Jadi, kita perlu peka terhadap perubahan yang berlaku pada diri kita.

Tanda-tanda awal mengandung luar rahim

Sebenarnya agak sukar untuk lihat tanda-tanda mengandung luar rahim ini.  Ini kerana ianya seakan sama dengan keadaan dimana kita mengalami haid atau senggugut. Dan, tanda-tanda yang disenaraikan ini pon berlaku setelah tiub fallopio atau ovari kita dah pecah. Apabila janin membesar, ia akan menyebabkan tiub fallopio atau ovari (bergantung di mana janin kita melekat) kita menegang. Apabila ia menegang,ia lebih mudah untuk pecah, maka berlakulah pendarahan.

Namun, tanda-tanda ini boleh menyelamatkan nyawa kita sekiranya kita cepat bertindak. Jadi kita kena peka dengan perubahan yang berlaku pada diri kita. Antara tanda-tanda awal mengandung luar rahim adalah:

  1. Mengalami pendarahan faraj yang tidak normal
    • selalunya pendarahan yang berlaku ini berbeza daripada haid yang biasa. Samada lagi banyak atau sedikit, berketul-ketul, atau mungkin warnanya lebih gelap daripada biasa.
  2. Sakit yang teruk di bahagian bawah perut secara berterusan
    • kadang-kadang ini simptom biasa bagi masalah senggugut, tetapi sekiranya anda positif hamil, segeralah berjumpa dengan doktor. Kebiasaannya bagi orang lelaki, jika sakit perut pada bahagian kanan bawah (right iliac fossa), diagnosis utama adalah appendicitis. Akan tetapi bagi perempuan muda dan dalam usia subur, diagnosis pertama adalah mengandung luar rahim.
    • Pada mulanya sakit perut tersebut mungkin tidak berapa teruk. Sakit perut yang teramat sangat akan terasa apabila tiub fallopio atau ovari telah pecah. Dan sakit perut ini akan merebak ke seluruh perut. Tanda-tanda ini akan berlaku pada minggu ke-5 atau ke-6 mengandung kerana embrio sudah tidak dapat membesar di dalam tersebut.
  3. Akibat berlakunya pendarahan tersebut, anda turut juga akan mengalami masalah seperti:
    • Demam Dedar
    • Loya Tekak
    • Bahu Sakit
    • Badan Bergas
    • Rasa Nak pitam
    • Muka Pucat

Sekiranya anda mengalami tanda-tanda seperti ini, cepat-cepatlah dapatkan rawatan.

Rawatan untuk kes mengandung luar rahim

Kaedah rawatan yang akan dibuat kebiasaannya bergantung kepada tahap kandungan dan saiz janin tersebut. Sekiranya saiz janin masih kecil, suntikan methotrexate. Suntikan ini bertujuan untuk menghalang sel plasenta daripada membesar. ujian darah akan dibuat untuk memastikan keberkesanan kaedah ini.

Antara rawatan lain adalah doktor akan melakukan pembedahan sama ada secara laparoscopic atau laparotomy. Untuk kes tiub fallopio yang belum pecah, kaedah laparoscopic digunakan. 3 tebukan kecil akan dibuat dan kamera akan dimasukkan melalui tebukan tersebut. Tetapi sekiranya terdapat mana-mana organ telah pecah, kaedah laparatomy akan dijalankan. Melalui kaedah ini, pembedahan perut akan dilakukan untuk membuang kandungan luar rahim tersebut.

Untuk sesetengah kes yang telah teruk, doktor akan membuang sebahagian tiup fallopio atau ovari bergantung di mana kawasan yang berlaku. Jadi, sangat penting untuk kita cepat bertindak. Sekiranya anda mempunyai simptom-simptom seperti diatas dapatkan rawatan segara supaya kita dapat menyelamatkan organ dan nyawa kita.

Sekiranya anda mengalami masalah kandungan luar rahim seperti ini, berlapang dada untuk menerima ketentuan ini. Dengan kaedah rawatan sekarang, tiada yang akan dapat memudaratkan kita. Yang penting, peka dengan perubahan yang berlaku pada diri.

Sekiranya anda ingin berkongsi kisah kandungan luar rahim anda, boleh ceritakan dibahagian komen. Ini supaya lebih ramai yang akan dapat manfaat daripada pengalaman anda.

Sharing is Caring

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge