Wednesday, October 07, 2015
6
Assalamualaikum...

Ibu bapa mana yang tak nak tengok anak-anak mereka cepat bercakap kan? Kalau boleh semua ibu bapa nak anak-anak cepat membesar. Bagaikan satu keajaiban kalau anak-anak tersebut boleh bercakap, berjalan dan sebagainya. 

Masalah ini biasanya menjadi dilema ibu-ibu muda yang risau melihat perkembangan anak-anak mereka yang lambat bercakap. Selalunya kita dengar orang cakap yang anak sulung pasti akan lambat bercakap sebab dia takde kawan untuk bercakap. Betul ke? Ada juga orang tua-tua cakap kalau anak tu cepat boleh berjalan, mesti akan lambat bercakap. 

Itu semua adalah pemerhatian mereka. Sebenarnya anak-anak kita ni sangat unik. Kalau kita merangsang mereka untuk bercakap, cepat la mereka akan bercakap melainkan mereka yang mempunyai masalah percakapan sejak lahir. Jadi, ibu bapa haruslah mainkan peranan supaya anak kita tidak ketinggalan.

tips rangsang anak cepat bercakap, anak cepat bertutur

Berikut adalah tips yang boleh kita lakukan untuk merangsang anak-anak cepat bercakap.

Tips Merangsang Anak Cepat Bercakap

Tips #1: Tidak memandang rendah dengan kebolehan anak
Jangan sesekali kita memandang rendah dengan kebolehan anak-anak. Kadang-kadang kita penat ajar anak dengan pelbagai perkataan, tapi mereka buat tak tahu je kan. Akan tetapi sampai satu masa mereka akan menyebut juga perkataan yang kita sering ulang-ulang tersebut. Di saat itu barulah kita rasa kagum dengan anak kita. 

Macam emil, Mia selalu sebutkan nama binatang sambil tunjukkan gambar pada emil. Tapi dia macam buat tak tahu jek. Ataupun sebut perkataan yang kita tak faham. Tapi beberapa minggu lepas dia datang tunjuk gambar binatang sambil sebut nama binatang tersebut. Mungkin mereka perlu mengambil masa untuk menyebutnya.

Tips #2: Perbanyakkan kosa kata yang mesra bayi terlebih dahulu
Kosa kata atau vocabulary perlu banyak dan harus mesra bayi. Maksudnya perkataan yang mereka mudah untuk sebut. Kebiasaaannya pada awalnya mereka hanya boleh menyebut perkataan yang mempunyai 1 atau 2 suku kata. Contohnya panggilan ibu dan ayah (mama, papa, umi), nak, tak nak, makan, susu, lari, jalan, sakit, naik, mandi dan sebagainya. Ini adalah antara perkataan-perkataan yang emil mula-mula sebut. Kadang-kadang bahasa mereka mungkin pelat sikit. 

Tips #3: Sentiasa mengulang perkataan yang sering digunakan
Pengulangan perkataan adalah penting supaya mereka dapat menangkap perkataan tersebut. Bila kita sering ulang-ulang perkataan tersebut, ia dah jadi sebati dengan mereka dan akan menyebabkan perkataan tersebut akan disimpan diingatan jangka panjang mereka. Jadi lebih senang untuk mereka untuk menyebutnya

Tips #4: Sering berbual/berinteraksi dengan anak
Berbuallah dengan anak-anak selalu walaupun anak nampak macam tak faham je. Dengan berbual akan membuatkan mereka lebih banyak mendengar perkataan yang sering kita katakan. Ini juga melatih mereka untuk mula bercakap. Biarkan anak bercampur dengan bayi atau kanak-kanak yang lain juga. Jangan fikir dia faham atau tidak, hanya ajak anak bercakap dan jika anak memberi tindak balas (senyuman, suara, renungan), itu sudah cukup baik. 

Tips #5: Bercerita sebelum tidur
Jadikan bercerita kepada anak-anak sebelum tidur sebagai rutin harian kerana ia adalah salah satu cara yang terbaik dan terbukti berkesan. Antara tips yang mia nak kongsikan adalah sediakan beberapa buah buku bergambar yang menarik dan ceritakan mengikut apa yang kita sendiri faham tentang gambar tersebut. 

Tak perlu nak baca sebijik-sebijik apa yang ditulis dibuku tersebut. Jangan terlalu skema dan membosankan. Buatla bunyi-bunyi kenderaan atau haiwan yang terdapat dalam buku tersebut. Ini dapat menarik minat anak-anak untuk membaca kelak. Penceritaan yang dibuat sebelum tidur juga akan lebih senang diproses semasa anak tidur dan mudah untuk mereka mengingatinya. 

Tips #6: Kurangkan ipad atau gadget
Hadkan penggunaan ipad, gadget, tv dan sebagainya kepada anak dan juga pada kita juga. Selalunya dalam sehari tu 1-2 jam je dibenarkan untuk mengguna gadget untuk anak-anak sambil diawasi oleh ibu bapa. Wujudkan perbualan aktif dengan anak. Kalau kita sebagai ibu bapa pun asyik duk mengadap gadget, memang tidak akan wujud perbualan aktif dengan anak. Asyik duk senyum sorang-sorang je depan gadget. Nanti anak akan meniru pula perbuatan kita. 

Tips #7: Menjalankan pelbagai aktiviti menarik bersama anak
Penuhi masa-masa anda bersama anak-anak dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang menarik. Contohnya aktiviti memasak, aktiviti luar, aktiviti menampal kertas, membuat eksperimen mudah dan sebagainya. Apabila kita menjalankan aktiviti bersama mereka, ini akan membuatkan mereka rasa ingin tahu terhadap sesuatu perkara. Jadi, ini akan menghasilkan proses komunikasi antara kita dan anak-anak.

Tips #8: Libatkan mereka dangan aktiviti harian
Contohnya kacau telur, sapu butter di roti, masukkan baju dalam mesin basuh, sidai baju, sapu sampah, siram pokok, lipat baju dan sebagainya. Semasa melakukan semua ni, kita bercakap dengan mereka, minta idea mereka, pelbagaikan intonasi suara dan wujudkan keseronokan masa membuat aktiviti tersebut. Jadi anak lebih rasa untuk berkomunikasi dengan kita.

Tips #9: Menggunakan bahasa yang baik
Sebolehnya ibu bapa seharusnya menggunakan bahasa yang betul dan baik. Tidak perlu menengking atau mengherdik mereka sekiranya mereka membuat kesalahan. Cuba berbicara dengan mereka secara baik, ini akan membuatkan anak tersebut tidak berasa takut untuk bercakap dengan kita. Perbuatan menengking, mengherdik mereka hanya akan membuatkan mereka berasa takut untuk bercakap lagi dengan kita. 

Tips #10: Amalkan doa untuk memudahkan anak mudah bercakap
Ibu bapa boleh cuba amalkan membaca surah Toha, ayat 25-28. Bacakan ayat ini sebanyak 7 kali sebelum mereka tidur dan hembuskan ke mulut anak. Penggunaan ayat al-Quran banyak fadilat dan kelebihannya. Cuma kena rajin dan bersabar.  

Semoga tips diatas membantu ibu bapa yang ingin melihat anak-anak mereka bertutur dengan cepat. Semuanya bermula dengan ibu bapa itu sendiri. Sekiranya ibu bapa memang yang jenis kurang bercakap, terpaksalah ubah cara kita untuk bercakap banyak dengan anak. Nanti anak akan jadi pendiam macam kita. 

With Love
-MiaZain-

6 comments:

  1. Tips yang sgt bagus..Alysa dlu lambat bercakap..3tahun baru pandai..tapi Danish cepat bercakap..mungkin banyak berkomunikasi ngn kakak dia kut

    ReplyDelete
  2. part gadget ceq paling setuju.. cakap la dengan anak2 tu.. bukan soh ipad cakap ngan diorang..

    ReplyDelete
  3. bagus tips ni..yoorin pon nak cuba lah rajin2 kan diri nak rangsang anak bercakap

    ReplyDelete
  4. Selalu dengar mak cakap dengan niece. Sekarang niece dh boleh cakap, lawak la.. Comel je, buat semua orang gelak.

    ReplyDelete

Tinggalkan jejak anda di ruangan komen...